Pada 16 Disember yang lalu, saya telah berkesempatan menghadiri forum perdana anjuran J** sempena sambutan 100 tahun I***. Forum yang bertajuk Keharmonian di Tempat Kerja telah disampaikan oleh Y. Bhg Dato’ Dr Mat Saat Baki, seorang pakar dalam bidang kekeluargaan dan Dr. Sharifah Hayaati Bt Syed Ismail, Pensyarah Jabatan Siasah Syariyyah, Universiti Malaya. Kehebatan kedua-dua penceramah ini memang tidak dapat disangkal, sepanjang 2 jam, majlis berjalan ianya dipenuhi dengan gelak tawa hadirin, sehingga saya sendiri terlupa mencatat perkara-perkara penting yang disampaikan untuk dijadikan panduan.
Bagaimanapun, saya suka untuk berkongsi beberapa perkara yang sempat saya catatkan. Antaranya untuk menimbulkan rasa keseronokan berada di tempat kerja kita perlu mengamalkan 7S ini di pejabat :
1. Seronok
Kerjaku, Nikmatku – selalu mengingatkan diri sendiri betapa bertuahnya kita kerana mempunyai pekerjaan, sedang ramai lagi insan di luar sana yang sedang menunggu-nunggu peluang pekerjaan.
2. Senyum
Datanglah ke pejabat dengan senyuman. Senyum kepada semua orang tanpa mengira pangkat dan darjat. Sekiranya kita ingin dihormati oleh orang bawah kita, kita juga terlebih dahulu perlu menghormati mereka
3. Sedekah
Banyakkan bersedekah. Bersedekah ini bukanlah dengan wang ringgit semata, tetapi ia juga termasuk idea dan tenaga. Dalam mesyuarat atau perjumpaan kita perlu rajin mengutarakan idea-idea yang baik. Sekiranya idea yang disumbangkan itu diguna pakai ia akan menjadi satu sedekah yang berpanjangan. Selain itu ringankan tulang membantu apa saja yang mampu kita lakukan tanpa mengharapkan balasan. Kita selalu bertanya apa sumbangan syarikat kepada kita tetapi jarang sekali bertanya apa sumbangan kita kepada syarikat.
4. Silaturrahim
Menjalinkan hubungan yang baik di antara semua pekerja di pejabat. Saling mengambil berat dan bertimbang rasa. Tetapi janganlah sampai menjadi “buzy body”.
5. Sabar
Sabar dengan setiap karenah. Mungkin sabar dengan karenah ketua kita atau sabar dengan karenah anak buah yang pelbagai. Manusia dijadikan berbeza warna dan rupa, pastinya tingkah laku juga berbeza. Jadikan perbezaan ini sebagai rencah kehidupan dan sentiasa bersabar sekiranya ia adalah sesuatu yang tidak sealiran dengan jiwa dengan kita.
6. Selawat dan Salam
Berilah salam apabila bertemu dengan rakan-rakan. Orang yang memulakan salam diberikan lebih pahala berbanding orang yang menjawab salam.
7. Syukur
Bersyukurlah atas segala nikmat yang kita peroleh. Selalu sujud syukur. Jadikan amalan bersyukur ini sebahagian dari budaya hidup kita. Dengan bersyukur hati kita akan selalu tenang, sebaliknya jika kita fikirkan apa yang tidak diperoleh jiwa akan jadi sakit serta dipenuhi dengan perasaan amarah dan dendam.
Selain itu, keharmonian di pejabat juga sering terjejas disebabkan adanya individu berikut:
1. Back Stabber (Tikam Belakang)
Orang yang sifatnya bermuka-muka dan suka menjatuhkan orang lain dengan tujuan menaikkan diri sendiri.
2. Reporter Tanpa Gaji
Suka bercerita mengenai hal orang lain, sedangkan pekerjaan sendiri tidak dibuat. Menyebabkan banyak kerja tidak dapat dilaksanakan. Menggangu pekerjaan orang lain. Apa tidaknya banyak masa dihabiskan untuk bercerita dan mendengar cerita. Sering nampak kesalahan orang lain, sedangkan diri sendiri juga tidak sempurna.
3. Pengedar Ketegangan
Seorang yang cepat mengkritik apa sahaja keputusan yang dibuat oleh pihak pengurusan. Mencari salah pengurusan dan menyebarkan kemungkinan-kemungkinan ini kepada orang lain. Mencetuskan rasa yang tidak sihat di kalangan rakan sekerja.
4. Profesor Serba Tahu
Seorang yang tahu semua perkara hatta sebelum ianya diwartakan. Kebiasaannya golongan ini juga kurang bekerja, sebaliknya asyik bercerita mengenai ke “tahuannya”.
Semulia-mulia manusia ialah yang mempunyai adab, merendahkan diri ketika berkedudukan tinggi, memaafkan ketika berdaya membalas dan bersikap adil ketika kuat. Khalifah Abdul Malik bin Marwan